Sunday 17 May 2009

Solat Hajat & Bacaan Yassin (Al- Kulliyah Lelaki))

Alhamdulillah pada 15hb Mei (Jumaat, malam Sabtu) yang lepas, siri Al-Kulliyah Lelaki telah diadakan di rumah Sdr Hj. Razali mulai jam 9 malam hingga 11 malam dengan jayanya. Pengisian al-kulliyah ini adalah amat padat dimulai dengan solat jamaah maghrib; solat hajat; bacaan Yassin; pengisian ilmu; dan solat jamaah Isya' serta jamuan makan.


Majlis ini telah disertai oleh semua lapisan warga Melayu Hull (adik-adik diperingkat sekolah, pelajar undergraduate, mahupun pelajar post-graduate) terutamanya kaum adam. Semoga doa-doa saudara/ri sekalian dimakbulkan Allahs.w.t.. Solat maghrib dan solat hajat secara berjemaah telah dipimpin oleh KB Pendidikan dan Kerohanian, Sdr. Hj. Razali. Motivasi mengadakan solat hajat kali ini adalah sempena peperiksaan adik-adik di peringkat persekolahan, peperiksaan & viva para pelajar undergraduate, dan viva pelajar post-graduate.
Bacaan yassin telah dipimpin oleh Pengerusi, Sdr. Shafudin dan beliau menyambung pengisian surah Al- Qiyaamah: ayat 26-40. Antara intisari ayat-ayat yang dibaca adalah menginsafkan kita di mana kita dijadikan dari air yang hina lalu Allah menjadikan manusia daripadanya sepasang: lelaki dan perempuan, maka sudah tentu Allah berkuasa pula menghidupkan kita semula setelah mati di hari kebangkitan.

Allah bertanya kepada manusia "Apakah manusia mengira bahawa ia kan dibiarkan begitu sahaja (tanpa pertangungjawaban)?" Di samping itu mengingatkan kita tentang menghadapi sakratul maut di mana orang kafir akan merasakan kesengsaraan dimana banyak kedustaan telah dibuat oleh mereka semasa kehidupan di dunia. Akhirnya Sdr mengingatkan semua agar menginsafi tujuan kehidupan di dunia dan sentiasa ingat tentang kematian yang mana sebagai satu ibadah, serta "Beribadahlah kamu seolah-olah kamu akan mati esok hari dan bekerjalah kamu seolah-olah kamu hidup selama-lamanya" Tetapi kerja dalam rangka amal soleh.

Majlis disudahi dengan santapan "mee Jawa" dan pelbagai lagi hidangan yang lain telah disediakan oleh Sdr Hj Razali & Sdri Hjh. Rokimah sekeluarga serta yang dibawa oleh ahli komuniti.

Dikesempatan ini, seluruh komuniti Melayu Hull juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Sdr. Awang kerana isterinya telah mengandung sebulan, anak yang pertama.


No comments: