Thursday 26 March 2009

Hari Ibu 22 Mac, 2009



Assalamualaikum wr.wbth.

Sempena Hari Ibu, anak-anak Kelab Melayu Hull (dengan diketuai adik Syahida Shafudin serta adik-adik lain) selamat menganjurkan satu program/aktiviti untuk ibu-ibu. Program anjuran anak-anak ini dapat dilangsung dengan jayanya seperti maklumat berikut:-
Hari/Tarikh/ Waktu: Ahad / 22 Mac 2009 / 2.30 p.m
Tempat: 37, Raglan Street, Hull, HU5 2JN.



Puan Noriza Mohd Jamal mewakili semua ibu Melayu Hull turut merakamkan ucapan terima kasih, penghargaan dan tahniah buat adik Syahida dan semua anak-anak Melayu Hull yang terlibat secara langsung menganjurkan program sempena Hari Ibu. Juga terima kasih kepada semua ibu yang memberikan komitmen tidak berbelah bagi. Sesungguhnya jasa ibu bapa tidak terbalas oleh kita; semoga kita terus memohon kesejahteraan dunia dan akhirat buat mereka.


Catatan: Paling 'best' aktiviti berbalas pantun!! Tak sangka ibu-ibu pun ada 'talent' berbalas secara spontan. Program dipenuhi dengan acara pantun, sajak, puisi dan nyanyian istimewa untuk Ibu.
Gambar-gambar sempena Sambutan Hari Ibu boleh dilayari di 'link' ini. http://uk.groups.yahoo.com/group/MelayuHull/photos/album/1268286431/pic/list

Monday 23 March 2009

Al-Kuliyyah, 21 Mac 2009 & Mesyuarah penubuhan Kelas Bimbingan Melayu Hull

Al- Kuliyyah siri ke 4

Allahamdulillah, siri al kuliyyah pada kali telah berlangsung dengan jayanya pada hari sabtu, 21 Mac 2009 yang lepas bertempat di 32, Sidmouth street, Newland Avenue, HU5 2LB di rumah pasangan saudara/i Razali & Rokimah. Program bermula dengan solat maghrib berjemaah.

Perbincangan tafsir telahpun selesai mengulas surah al-Mudathsir pada perjumpaan terdahulu dan kini kita telah memperbincangkan surah al qiyamah mulai ayat 1 hingga ayat 12. Di antara pengajaran ayat-ayat tersebut adalah mengingatkan umat manusia; mengenai Allah bersumpah qiamat akan tiba dan manusia ada yang meraguinya. Manusia tidak percaya bahawa tubuh manusia yang berkecai ini akan dicantumkan semula. Manusia diperingatkan akan perjalananan hidup di hari akhirat amatlah jauh selepas terjadinya qiamat. Keadaan kita pada ketika masa itu adalah bergantung kepada amalan masing-masing.

Manakala antara intisari tazkirah pula adalah mengenai hubungan kita dengan rabb (Allah taala) dan hubungan kita sesama manusia. Dalam perhubungan kita sesama manusia, ia boleh dibahagikan kepada 3 peringkat terpenting iaitu berusaha menunaikan taaruf (berkenalan), tafahum (bersefahaman & menggabungkan diri untuk melaksanakan sesuatu tugas), dan takaful (tolong-menolong & melaksanakan khidmat atau memberi bantuan kepada sesama persaudaraan Islam). Islam menyeru umatnya untuk memenuhi keperluan bukan sahaja sesama saudara khususnya, bahkan amnya kepada komuniti/masyarakat setempat tanpa mengira warna kulit, keturunan, mahupun agama.

Mesyuarah penubuhan Kelas Bimbingan Melayu Hull

Untuk makluman saudara/i sekalian, satu mesyuarah ringkas telah diadakan di rumah saudara Razali. Matlamat mesyuarah ini adalah untuk membincangkan keperluan dan perjalanan Kelas Bimbingan Melayu Hull. Mesyurah kali ini telah dipengerusikan olah Guru besar Kelas Bimbingan Melayu Hull, juga merangkap Timbalan Pengerusi Melayu Hull, sdr. Azli.

Antara intisari/agenda mesyuarah adalah :

Mengadakan kelas bimbingan anak-anak terbahagi kepada 3 tahap iaitu:-
tahap 1 : (adik-adik berumur 6-8 tahun)
tahap 2 : (adik-adik berumur 9-11 tahun)
tahap 3 : ( adik-adik berumur 12-16 tahun)

Manakala subjek yang di tawarkan/diajar adalah :-
1 Bahasa Malaysia ( ketua Penatia Saudari Zarimah)
2 Pendidikan Islam ( ketua Penatia Saudari Rusiah)
3 Kenegaraan (Ketua Penatia sdr. Hasan)

Mesyuarah turut memutuskan bahawa penglibatan seramai mungkin guru-guru sukarelawan (mungkin sesi pengajaran dan pendidikan (P&P) akan disampaikan secara giliran seperti cara kita membuat al-kuliyyah, dan semua ahli komuniti janganlah risau kerana setiap subjek akan dikepalai dengan seorang ketua penatia. Ketua panatia ini akan menyedikan sukatan bagi subjek masing-masing). Mesyuarah mempercayai bahawa ramai lagi individu-individu yang lebih berkaliber untuk mendidik adik-adik kita ini.

Kelas ini akan dijalankan pada setiap hari sabtu bermula jam 10.00 pagi hingga 1.00 tengahari. Setiap sesi kelas akan dijalankan selama 40-50 minit. Kelas ini akan dilaksanakan secepat mungkin bermula pada bulan April ini. Justru itu, komitmen setiap warga komuniti Melayu Hull amatlah diharapkan, agar kelas ini dapat berjalan dengan jayanya.

Thursday 12 March 2009

Sambutan Maulidur Rasul 2009


Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah SWT kerana pada hari Ahad, 8hb Mac 2009, jam 2.15 petang, bertempat di North Hull Community Centre, sambutan Maulidur Rasul peringkat komuniti Melayu Hull telah berlangsung dengan jayanya. Kehadiran adik-adik serta teman-teman dari Scarborough telah menceriakan lagi majlis kita. Majlis ini juga turut dihadiri dengan warga baru komuniti Hull, antaranya ialah Saudara Ku Hafizal, Saudara Adriman dan Saudara Ahmad Zaidi sekeluarga.





Sambutan ini dimulakan dengan bacaan ayat-ayat Al-Quran secara tematik berkaitan perjuangan dakwah Rasulullah dan peranan manusia di atas muka bumi ini oleh adik Nash dan adik Arief. Penceramah undangan kita pada kali ini adalah Dr Berry Hamid. Saudara Berry Hamid merupakan warga Sudan yang telah bermastautin di bumi Hull selama 15 tahun dan beliau giat mengadakan kelas pengajian al-Quran di masjid dan menjadi Khatib di surau universiti dan masjid di Pearson Park, Hull. Antara intisari ceramah yang disampaikan ialah Rasullulah membawa risalah Islam untuk seluruh manusia dan kita sebagai umatnya semestinya menerima ajaran yang disampaikan agar kita semua taat kepada suruhan Ilahi.






Pada masa yang sama, program buat adik-adik di bawah umur 12 tahun turut diadakan serentak dengan sesi tazkirah oleh Dr. Berry. Dimulakan dengan peringatan surah Luqman terhadap anaknya, kemudian sesi kuiz dan aktiviti dalam kumpulan. Syabas dan tahniah diucapkan kepada Kumpulan 2 kerana telah mendapat tempat pertama. Walau bagaimanapun, pihak penganjur memohon jutaan maaf kerana hadiah yang disediakan tidak menepati cita rasa adik-adik perempuan.





Rasional sambutan Maulidur Rasul adalah untuk mengingati serta menghayati perjuangan dan pengorbanan Nabi Muhammad SAW di samping mengukuhkan silaturrahim di kalangan komuniti Melayu Hull. Baginda Nabi Muhammad SAW telah dilahirkan pada hari Isnin, 12 rabiulawal tahun Gajah bersamaan dengan 20 April 571 Masihi. Bapa baginda, Abdullah Bin Muthalib telah meninggal sebelum kelahiran baginda, manakala ibunya, Aminah Bt Wahab pula meninggal ketika baginda berusia 6 tahun.