Thursday 12 March 2009

Sambutan Maulidur Rasul 2009


Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah SWT kerana pada hari Ahad, 8hb Mac 2009, jam 2.15 petang, bertempat di North Hull Community Centre, sambutan Maulidur Rasul peringkat komuniti Melayu Hull telah berlangsung dengan jayanya. Kehadiran adik-adik serta teman-teman dari Scarborough telah menceriakan lagi majlis kita. Majlis ini juga turut dihadiri dengan warga baru komuniti Hull, antaranya ialah Saudara Ku Hafizal, Saudara Adriman dan Saudara Ahmad Zaidi sekeluarga.





Sambutan ini dimulakan dengan bacaan ayat-ayat Al-Quran secara tematik berkaitan perjuangan dakwah Rasulullah dan peranan manusia di atas muka bumi ini oleh adik Nash dan adik Arief. Penceramah undangan kita pada kali ini adalah Dr Berry Hamid. Saudara Berry Hamid merupakan warga Sudan yang telah bermastautin di bumi Hull selama 15 tahun dan beliau giat mengadakan kelas pengajian al-Quran di masjid dan menjadi Khatib di surau universiti dan masjid di Pearson Park, Hull. Antara intisari ceramah yang disampaikan ialah Rasullulah membawa risalah Islam untuk seluruh manusia dan kita sebagai umatnya semestinya menerima ajaran yang disampaikan agar kita semua taat kepada suruhan Ilahi.






Pada masa yang sama, program buat adik-adik di bawah umur 12 tahun turut diadakan serentak dengan sesi tazkirah oleh Dr. Berry. Dimulakan dengan peringatan surah Luqman terhadap anaknya, kemudian sesi kuiz dan aktiviti dalam kumpulan. Syabas dan tahniah diucapkan kepada Kumpulan 2 kerana telah mendapat tempat pertama. Walau bagaimanapun, pihak penganjur memohon jutaan maaf kerana hadiah yang disediakan tidak menepati cita rasa adik-adik perempuan.





Rasional sambutan Maulidur Rasul adalah untuk mengingati serta menghayati perjuangan dan pengorbanan Nabi Muhammad SAW di samping mengukuhkan silaturrahim di kalangan komuniti Melayu Hull. Baginda Nabi Muhammad SAW telah dilahirkan pada hari Isnin, 12 rabiulawal tahun Gajah bersamaan dengan 20 April 571 Masihi. Bapa baginda, Abdullah Bin Muthalib telah meninggal sebelum kelahiran baginda, manakala ibunya, Aminah Bt Wahab pula meninggal ketika baginda berusia 6 tahun.

No comments: