Saturday 5 March 2011

Sambutan Maulidur Rasul 2011 & Majlis Resepsi Nik Adzrieman serta isteri.

Tarikh : 27/2/2011

Masa : 1400 - 1630

Tempat : North Hull Community Centre

Penceramah : Ustaz Hj. Zaharuddin Hj. Abd Rahman

Pengerusi Majlis : Puan Norini


Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Saudara Ikhwan dan seterusnya ucapan ringkas Pengerusi Kelab Melayu Hull, Saudara Nazri. Beliau mengalu-alukan kedatangan penceramah bebas Ustaz Zaharuddin kerana sudi meluangkan masa untuk memberi ceramah sempena Sambutan Maulidur Rasul 2011. Selain itu, Pengerusi Kelab juga telah mengucapkan sekalung tahniah serta syabas atas kejayaan Sekolah Melayu Hull menerima wang sejumlah 3,000 GBP dan secara tidak langsung menjadi sebuah sekolah di bawah naungan kerajaan.


Sedikit latar belakang penceramah yang dipetik daripada zaharuddin .net adalah beliau berkelulusan B.A (Hons), Usuluddin dari Universiti Malaya, M.A Shari'ah (Hons) dari University Al-Yarmouk, Jordan dan PhD Syariah & Islamic Finance dari University of Wales, United Kingdom. Sekarang ini beliau merupakan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan juga penasihat kepada pelbagai organisasi. Tanpa membuang masa, majlis diserahkan kepada penceramah.


Pengerusi Majlis memberi sepatah dua kata



Bacaan doa pembukaan majlis



Antara intipati ceramah tersebut adalah sebagai manusia, kita tidak harus lupa akan matlamat asal dan destinasi yang perlu ditujui kelak. Dunia ini, kesemua isinya dilaknati atau dicela oleh Allah S.W.T kecuali tiga perkara iaitu orang yang belajar tentang agamanya, orang yang mengetahui agamanya dan orang yang sentiasa berzikir dan melakukan ibadah. Sunnah Rasullah S.A.W sebenarnya terbahagi kepada dua kategori. Pertama, dinamakan Tash'riah iaitu perkara yang dilakukan oleh Nabi dan kita sebagai umatnya haruslah menjadikan Baginda sebagai teladan terutamanya yang berkaitan dengan ibadah. Manakala kategori kedua yang dinamakan Ghairu Tash'riah merupakan hal-hal peribadi yang Nabi lakukan namun tidak diwajibkan ke atas umatnya untuk berbuat perkara yang sama ie memakai jubah, etc. ---

Ustaz juga telah mengeluarkan ayat sahih yang bermaksud, "Sesiapa yang berjumpa dengan tukang bomoh atau tukang tilik walaupun tidak mempercayai kata-kata mereka, tidak akan diterima solatnya selama 40 hari". Oleh itu, jelas ayat tersebut cuba menerangkan bahawa perbuatan syirik iaitu menyekutukan Allah S.W.T adalah satu dosa besar dan matinya seseorang itu dalam keadaan syirik jika tidak sempat bertaubat akan dicampakkan ke neraka. Nauzubillah.


Sebagai manusia, sudah tentu tidak akan lari dari melakukan dosa namun haruslah segera bertaubat dan menyekat diri daripada terus melakukannya. Mencapai tahap taqwa kepada Allah S.W.T bukanlah sesuatu yang mudah dan perlu diseiringkan dengan iman dan juga ilmu yang bermanfaat. Konklusinya, kita haruslah cuba sedaya upaya memperbaiki hati dan memberikan prioriti terhadap apa yang lebih utama. Peranan Nabi Muhammad S.A.W adalah menyelamatkan umatnya dari terus alpa dengan perkara-perkara duniawi dan sekarang ini terpulanglah kepada kita sendiri untuk mendapatkan keredhaan Yang Maha Esa.


Penceramah jemputan : Ustaz Zaharuddin



Selawat beramai-ramai ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W




Majlis ceramah diakhiri dengan bacaan selawat yang dipimpin oleh Saudara Zaidi dan diikuti majlis resepsi merpati dua sejoli, Saudara Nik Adzrieman dan Puan Nordiana Rosli. Seluruh warga Melayu Hull mendoakan semoga berbahagia hendaknya hingga ke akhir hayat dan bersabar meniti asam garam hidup berumah tangga. Tahniah diucapkan kepada pengantin baru.


Pasangan pengantin yang diraikan