Thursday 8 October 2009

Raya Aidul Fitri 1430H (2009)


Selamat Hari Raya Aidul Fitri buat semua warga Melayu di UK amnya dan di Hull khususnya...tidak lupa warga Malaysia di mana jua berada. Setelah sebulan menunaikan ibadat puasa dengan penuh keimanan dan keinsafan, alhamdulillah kita bersyukur dapat dianugerahkan kesempatan untuk meraikan bersama kemenangan yang amat bermakna ini...iaitu melawan hawa nafsu.


Namun di sebalik kegembiraan ini, kita seharusnya tidak lupa pada insan-insan yang tidak berkemampuan untuk meraikannya...sama ada tidak berkemampuan @ tidak lagi mempunyai insan tercinta di sisi lagi.....kembali ke hadrat Ilahi...panggilan yang pasti tidak dapat tidak untuk kita menyahutnya (cepat @ lambat). Namun setelah kedatangannya tidak terlewat ataupun terawal baik sesaatpun. Justeru itu, marilah kita sama-sama bermaafan dan memanfaat hidup bermasyarakat diperantauan. Tidak rugi kita merendah diri kerana ular menyusuri akar tidak akan hilang bisanya. Namun semangat muafakat yang utuh bakal menyinari kemesraan, kegembiraan dan kegemilangan yang tidak ternilai oleh wang ringgit @ GBP.


Bagi warga Melayu Hull yang akan kembali ke tanahair tercinta....selamat berangkat dan kepulangan kalian ke pangkuan amat dinantikan agar segala ilmu yang diperolehi dapat dimanfaatkan bersama untuk kebaikan agama, bangsa dan negara. Sesungguhnya kecemerlangan kalian menjadi pendorong kepada warga-warga baru Melayu Hull untuk terus berjuang selagi keringat masih di badan ... bagi menggapai kegemilangan mendatang. Sesungguhnya kejayaan dan kecemerlangan kalian menaikkan lagi imej negara Malaysia di mata dunia.


Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Begitulah hasrat dan keinginan negara Malaysia untuk melahirkan bijak pandai yang mampu menyumbang kesinambungan kecemerlangan akademik dan insaniah di bumi tercinta. Sumbangan kalian amat dinanti-nantikan setelah berjuang bertahun-tahun diperantauan. Curahkanlah segala ilmu, panduan dan contoh tauladan terbaik yang diperolehi untuk dipraktikkan di negara sendiri. Biarlah hujan emas di negara orang; lebih baik berbakti di negara sendiri.


Bagi warga baru Melayu Hull kecapilah dan manfaatkanlah hidup berkomuniti agar tidak kekok di perantauan dan tidak sesat di perjalanan. Nun jauh di sana pelbagai dugaan dan cubaan sedang menanti. Namun keikhlasan berukhuwah dan ketulusan dalam kehidupan pastinya membuahkan kemenangan yang tidak ternilai.