Saturday 7 February 2009

Al-Kulliyah Lelaki dan Wanita - 7hb Februari 2009

Alhamdulillah warga Lelaki dan wanita telah mengadakan Al-Kulliyah masing-masing. Al-Kulliyah Lelaki Siri 2 di rumah Sdr Hafiz. Hj Razali membaca ayat 20-31 surah al-Mudathsir serta terjemahan, Sdr Ezzat menyampaikan tazkirah dan Sdr Shafudin membaca hadith ke 41 dalam buku Hadith 40.

Intipati al-kulliyah pada minggu ini mengajak kita sebagai seorang Muslim untuk terus mengukuhkan iltizam terhadap ajaran Al-Quran berbanding dengan orang kafir yang menolak al-Quran diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad. Mereka mengatakan Al-Quran sebagai sihir, menyombong diri, berpaling daripada kebenaran dan akhirnya mereka akan dicampakkan ke neraka saqar yang dilakarkan cirinya sebagai pembakar kulit manusia dan terdapat 19 malaikat yang menjaga neraka tersebut. "Demikianlah Allah menyesatkan orang-orang yang dikehendakiNya dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Dan tidak ada yang mengetahui tentera Tuhanmu melainkan Dia sendiri. Dan saqar itu tiada lain hanyalah peringatan bagi manusia".

Saudara Izzat mengajak kita muhasabah terhadap kehidupan di dunia ini bagi menambah keimanan dan amal soleh. Kita patut bersyukur dengan keimanan yang terima dengan mudah dan beliau mengumpamakan Islam ini mudah diamalkan oleh semua orang hatta orang buta berbanding susahnya orang buta nak membawa basikal. Akhirnya beliau mengatakan hidup ini sementara dan bekalan yang berpanjangan ialah 3 perkara sepertimana maksud hadith nabi:- anak yang soleh, ilmu yang dimanfaatkan dan sadaqatul jariah.

Manakala, Sdr. Shafudin menutup Al-Kulliyah dengan menyampaikan satu hadith yang bermaksud "Tidak beriman seseorang kamu sehingga adalah hawanya (kemahuan atau kecenderungannya) mengikut kepada apa yang aku (Nabi Muhammad) bawa dengan dia" Beliau mengatakan hawa nafsu kita yang pelbagai perlu dikawal kerana syaitan sentiasa cuba menguji dan menggoda kita agar tidak mengikut ajaran Ilahi. Mereka yang terlepas dari godaan syaitan dan hawa nafsu, mereka itu orang yang berjaya.

Manakala Al-Kulliyah Wanita pula diadakan di rumah Pn Habibah. Penyampai minggu ini ialah Pn Zarimah dan Dr Thohiroh. Al-Kulliyah wanita pula membincangkan surat An-Naba berkaitan kekuasaan Allah, penciptaan langit dan bumi serta kehidupan manusia di dunia ini.

Terima kasih kepada semua warga Hull yang telah memberi komitmen untuk hadir dan juga tuan/puan rumah yang sudi menjadi 'host'. Semoga ada barakah kepada semua.

No comments: