Wednesday 13 January 2010

Sambutan Maal Hijrah

SALAM MAAL HIJRAH 1431 buat semua warga Melayu Hull semoga kalian berada dalam rahmat dan inayahNya di dalam menjalani kehidupan seharian. Sesungguhnya kejadian langit, bumi, bintang, bukit bukau serta lautan menjadi sebahagian tanda kewujudan Allah S.W.T. Betapa manusia hanyalah insan kerdil di buminya yang diamanahkan untuk berbakti dan mengabdikan diri kepadaNya. Oleh itu marilah kita bersama-sama berjuang dan merealisasikan "bekerja/beramallah kamu untuk kehidupan di dunia seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya dan beribadatlah kamu untuk kehidupan di akhirat seolah-olah kamu akan mati keesokan harinya".







Syukur kita ke hadrat Ilahi kerana sambutan Maal Hijrah kali ini kita dapat mempelajari pelbagai ilmu, istilah dan peristiwa 2 realiti di sekeliling yang boleh dihayati, diamati dan ditauladani. Kadangkala kita tidak menjangka sesuatu yang berlaku ada hikmatnya yang tersendiri. Namun seringkala manusia sentiasa lupa apabila dilingkari dengan kenikmatan dan kemewahan seperti wang ringgit (di UK GBP), pangkat, harta dan sebagainya. Di kala manusia leka inilah, pelbagai dugaan dan cabaran diturunkan untuk menghitung siapakah di kalangan manusia yang bersyukur dan sebaliknya.

Sejarah Islam lampau perlulah kita renungi bagaimana jatuhnya Empayar Islam Turki dan penaklukan semula Baitul Muqaddis oleh orang-orang bukan Islam yang sehingga kini masih tidak dapat ditebus semula kegemilangannya. Sesungguhnya kekayaan yang ada dan bilangan umat Islam yang ramai masa kini tidak mampu untuk mengatasi perpaduan dan kesepakatan orang-orang bukan Islam. Mengapa situasi ini terjadi.....seolah-olah umat Islam bagaikan buih 2 di lautan.



Propaganda orang-orang bukan Islam untuk melemahkan umat Islam dengan menimbulkan pelbagai perasaan / persoalan yang berbentuk syak wasangka / was-was terhadap Agama Islam. Situasi ini diketengahkan kerana untuk memaksa ummat Islam meninggalkan agama adalah terlalu mustahil. Ayat-ayat Al-Quran juga telah memperingatkan bahawa sesungguhnya orang-orang Yahudi dan Nasara tidak sesekali akan meredhai agamamu sehinggalah kamu menjejaki agama mereka. Namun metodologi yang sama boleh digunakan untuk menangkis serangan orang-orang bukan Islam tersebut iaitu menimbulkan persoalan / keraguan mereka terhadap agama mereka.




Penggunaan kalendar Islam, penghayatan yang hakiki terhadap agama, kesepakatan, perpaduan dan lain-lain sifat positif yang ada perlulah digembleng dan direalisasikan oleh semua ummat Islam sama ada di bumi Hull mahupun di pelusuk dunia agar kegemilangan dan kecemelangan lampau dapat dikembalikan. Walaupun perpaduan dalam kumpulan kecil namun keberkesanannya dapat mempengaruhi persekitaran masyarakat setempat. Oleh itu, jadilah lebah yang kecil berterbangan mengumpul madu...namun nikmatnya dapat dirasai oleh pelbagai makhluk yang lain.



Bagi meraikan kepulangan Dr. Zahari, Dr. Thohirah, Sdr Tarmizi dan Sdri Habibah ke Malaysia; sedikit cenderamata telah diberikan oleh pihak kelab sebagai kenangan atas sumbangan, khidmat dan jasa baik yang dihulurkan bagi menjayakan program-program kelab serta aktiviti kemasyarakatan amatlah dihargai. Sesungguhnya ilmu yang tinggi diikuti sahsiah terpuji pastinya menjadi panduan tertinggi bagi generasi akan datang. Bak resmi padi "semakin tunduk semakin berisi".













Curahlah ilmu dan kembalilah berbakti kepada pertiwi.......khidmat untuk anak bangsamu masih dicari.